KUALA LUMPUR: Sumbangan sejumlah RM750,000 yang dikumpul menerusi perlawanan skuasy amal Battle of the Bulge diserahkan kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu golongan kurang berkemampuan sejak pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sumbangan yang diterima daripada 28 syarikat korporat itu dijangka dapat menyediakan 125,000 bekalan makanan untuk lebih 1,000 keluarga untuk satu tempoh.
"Ia adalah sebahagian daripada usaha murni bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keperitan yang dilalui sesetengah golongan ketika berdepan dengan pandemik.
"Ada yang saban hari terpaksa mencatu makanan bahkan ada tidak cukup makan berikutan penularan COVID-19.
"Menyedari kesukaran dihadapi masyarakat inilah, kami tergerak untuk mengumpulkan dana ini," katanya selepas menyerahkan replika cek kepada lima NGO di sini, pada Jumaat.
Lima NGO itu adalah PERTIWI Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen, Good Shepherd Services, Yayasan Chow Kit dan Malaysian Relief Agency (MRA).
Perlawanan skuasy amal yang pada awalnya dijadualkan diadakan pada 18 Oktober lalu di Bukit Jalili antara Tony Fernandes dan hartawan hartanah, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din terpaksa ditunda dua kali akibat pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mengulas lanjut Tony berkata, perlawanan amal itu akan dijadualkan semula pada awal tahun hadapan.
Sementara itu, Pengerusi ECM Libra, Datuk Seri Kalimullah Hassan berkata, inisiatif untuk mengumpul dana sebanyak RM750,000 adalah salah satu daripada usaha yang dijalankan bersama Yayasan ECM Libra dalam membantu orang ramai ketika penularan COVID-19.
"Pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan Mac lalu, kami memberi sumbangan untuk pembelian mesin ventilator, bekalan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan menyediakan penginapan di hotel kepada barisan hadapan.
"Kami juga telah memberi sumbangan berupa makanan dapur kepada lebih 1,6000 keluarga sejak sembilan bulan lalu. Yayasan kami juga setakat ini membelanjakan lebih RM3 juta untuk membantu golongan gelandangan , Orang Asli dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR)," jelasnya.